KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique akur dengan keputusan dibuat oleh Barisan Nasional (BN) yang menggugurkan beliau untuk bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Halimah juga dalam masa sama berikrar akan terus menyokong jentera dan calon-calon lain untuk berkempen bagi memastikan kemenangan menjadi milik BN.

“Saya orang parti dan akan akur dengan apa jua keputusan parti walaupun nama digugurkan dalam PRU15.

“Saya juga akan turun padang membantu kawan-kawan bertanding di atas tiket BN. Jiwa saya amat besar untuk parti Saya mendoakan semua calon dan mudah-mudahan pengundi akan terus memberi sokongan padu kepada BN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Galeri Uniti Keluarga Malaysia, di sebuah pusat beli-belah, di ibu negara, pada Jumaat.

Sementara itu, Halimah meminta calon kerusi Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin untuk turun padang menyantuni masyarakat di kawasan itu dan memperkenalkan diri kepada para pengundi.

“Saya yakin pengundi akan memberikan sokongan yang padu untuk menangkan calon BN,” katanya lagi.